PETALING JAYA, 4 Oktober: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan memperkenalkan skim yang lebih baik untuk mengurangkan beban pembeli rumah dalam Bajet 2017.

Setiausaha Agungnya N. Gopal Krishnam berkata rakyat masih mengalami kesukaran untuk memiliki sebuah rumah.

“Oleh itu, MTUC berharap kerajaan persekutuan akan memperkenalkan rumah insentif mesra-pembeli dalam Bajet 2017. Walaupun kita tidak menafikan beberapa insentif telah diperkenalkan dalam Bajet 2016, tetapi kami berpendapat bahawa langkah-langkah tersebut tidak mencukupi,” katanya katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gopal juga berkata, berikutan peningkatan kos sara hidup, merumitkan lagi peluang untuk membeli sebuah rumah.

Di samping itu, MTUC juga berharap kerajaan tidak akan membenarkan pemaju untuk memberi pinjaman perumahan seperti yang dicadangkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar baru-baru ini.

“Kita tahu bahawa harga pasaran tidak hanya ditentukan oleh permintaan, sedikit sebanyak, ia juga ditentukan oleh ejen hartanah. Ini adalah keadaan yang sebenar. Keadaan ini telah berlarutan sekian lama, di mana pembeli menjadi mangsa kepada ejen hartanah kejam.

“Perumahan, terutamanya hartanah di bandar-bandar utama, hanya mampu dimiliki oleh mereka yang mempunyai gaji bulanan lima angka atau lebih. Yang lain hanya boleh melihat dan mengimpikan untuk memiliki satu, “katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan untuk meningkatkan elaun bagi kakitangan awam yang tidak pernah disemak sejak 12 tahun yang lalu.

Menyatakan bahawa simpanan isi rumah penjawat awam di negara ini adalah kurang daripada 0.7% daripada gaji mereka, Azih menggesa kerajaan mengkaji semula kenaikan elaun seperti elaun khidmat awam, elaun wilayah, elaun perumahan wilayah, elaun semalaman dan elaun lebih masa.

Selain itu, Azih juga menggesa kerajaan mengkaji semula kelayakan pinjaman kakitangan awam untuk membeli kenderaan dan untuk membenarkan tempoh pinjaman yang lebih lama untuk membantu mereka menjimatkan wang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dijadualkan untuk membentang Bajet 2017 di Parlimen pada 21 Oktober.

-IPROPERTY

Ini bukan soal pemilikan hartanah tetapi mengenai kawalan!

Anda suka dengan artikel ini dan merasakan ia membantu ? Jom, kongsikan!

Advertisements